Tuesday, November 11, 2014

JALAN-JALAN CARI MAKAN

JALAN-JALAN CARI MAKAN…. DI WADIHANA ISLAMIC STEAK HOUSE
 
 
 
Wadihana Islamic Steak House yang terletak di Bandar Botanic, Klang adalah di antara restoran milik bumiputera yang menawarkan pelbagai jenis makanan barat yang sungguh enak dan tidak menghampakan peminat-peminat tegar makanan barat termasuk saya dan keluarga saya.
 

Nama Wadihana telah lama bertapak dalam industri penyediaan makanan sejak dari tahun 1952 lagi.
 


Wadihana menawarkan pelbagai jenis menu bahagian-bahagian daging yang boleh dipesan mengikut selera pelanggan.

 

Wadihana juga menawarkan pelbagai jenis sos untuk diserasikan bersama hidangan utama mengikut selera pelanggan.

 
 
 

Di antara hidangan utama di Wadihana.. nak tahu menu yang lebih lanjut :

Pelbagai jenis menu makanan barat ditawarkan sampaikan tak tau nak pilih yang mana. Dekat setengah jam membelek senarai menu. Nasib baiklah waiter-waiter kat situ semuanya senyum dan ramah orangnya. Muda-muda pulak tu. Tapi ada kelainannya sikit…kerana pekerja-pekerja disitu bermula dari cashier, tukang masak, pramusaji dan lain-lain semuanya adalah kaum lelaki sahaja.
 
 
 

Di antara susun atur dan pemandangan yang menarik di dalam Wadihana Islamic Steak House. Pencahayaan lampu yang menarik dan kemudahan TV LCD untuk menyenangkan pelanggan menonton sambil menjamu selera.


Wadihana sentiasa sesak dengan pelanggan tetap dan pelanggan baru. Ternyata wang bukan ukuran. Apa yang penting adalah kepuasan untuk menikmati makanan yang menepati selera masing-masing.

 
Wadihana juga mendapat tempat di hati pelanggan berbangsa asing.
 


Black Pepper Steak adalah di antara makanan yang popular dan sering dipesan dan dinikmati oleh pelanggan-pelanggan kerana dagingnya yang lembut dan sos blackpeppernya yang manis, lemak dan sedikit pedas. Tidak kira sama ada sirloine, tenderloine, t-bone atau rib eye steak semuanya amat popular di hati dan selera pelanggan.

 
Untuk kunjungan kali ini, saya memesan Grilled Sirloin Steak, Grilled Chicken Chop dan Fish n Chips. Jus minumannya juga sungguh enak dan menyelerakan meskipun mahal.
Huhu…pokai skojap.. 
 
Sekali sekala sebenarnya sempena meraikan pemergian anak dara saya kat sebelah tu. 2 minggu lagi akan berangkat untuk menyambung pelajaran ke UITM Bukit Mertajam. Huhu.. jauh sungguh.
Hilang sekejap anak dara yang banyak membantu kerja-kerja di dapur.......

Selfie dulu sebelum makan...
  
Sesi suap-menyuap..
 
Sedar tak sedar kami telah bersantai hampir 1 jam 15 minit di Wadihana Steak House. Kami amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan. Pelayan di situ sentiasa memastikan kami berada dalam keadaan selesa dan mereka berulang kali bertanya tentang pilihan makanan yang dipesan telah benar-benar sampai dan menepati kehendak kami. Saya amat teruja dengan pelayan-pelayan muda ini kerana mereka sentiasa berada dalam keadaan tersenyum meskipun penat bekerja melayan kehendak pelanggan.
 
Tiba masa untuk membayar… semua bil berharga RM92.20 termasuk cukai dan servis perkhidmatan. Grilled sirloin steak RM26.90, Grilled chicken chop RM20.90, Fish n chips RM16.90, Apple lemonade RM5.90 dan Chocolate milkshake RM8.90. Walau bagaimanapun saya tetap berpuas hati dan rasa berbaloi dengan wang yang telah dikeluarkan. Selesai membayar bil, juruwang sempat bertanyakan soalan tentang makanan yang dimasak dan dihidangkan samada sedap atau tidak. Saya memberikan jawapan yang baik, cuma sos black peppernya perlu dilebihkan.
Hihi...
 
OKLAH.. jom kita cuba-cuba masak sendiri black pepper steak. Manalah tau lebih sedap dari wadihana punya kan…
RESEPI BLACK PEPPER STEAK (Bahan-bahan untuk 4 orang
Bahan perap:
1.      500 gm daging batang pinang atau daging lembut yang sesuai
2.      2 sudu besar biji lada hitam*
3.      1 inci halia*
4.      5 ulas bawang putih*
5.      2 sudu besar sos tiram
6.      3 sudu besar kicap pekat
7.      1 sudu kecil garam
Bahan sos lada hitam:
1.      1 biji bawang besar (dipotong dadu)
2.      2 ulas bawang putih (dicincang)
3.      1 sudu besar tepung jagung / gandum dibancuh dengan sedikit air
4.      2 ½  cawan air rebusan ayam/daging
5.      2 sudu besar sos tiram
6.      4 sudu besar serbuk lada hitam
7.      1 sudu besar butter / majerin
8.      Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:-
1.      Bersihkan daging (tidak perlu potong kecil) dan toskan.
2.      Kisar bahan-bahan bertanda* dan campurkan dengan bahan perap yang lain. Cucuk-cucuk daging dengan garfu, perap daging bersama bahan perap semalaman.
3.      Bakar daging yang telah diperap sehingga masak (letakkan sebekas air di dalam oven untuk memastikan isi daging tidak terlalu keras selepas dibakar).
4.      Sediakan bahan sos – Tumis bawang besar, bawang putih dan bahan lebihan perap dengan butter/majerin sehingga wangi. Masukkan air rebusan ayam/daging. Masukkan campuran tepung, sos tiram, serbuk lada hitam, garam dan gula. Gaulkan sehingga sos pekat.
5.      Hiriskan daging kepada kepingan nipis dan tuangkan sos black pepper ke atasnya. Sedia dihidangkan.

 
  SELAMAT MENCUBA…..
 
 
 




0 comments:

Post a Comment