TIP-TIP
DAN PETUA MEMASAK DI DAPUR
Assalamualaikum
dan Selamat Sejahtera..
Semoga
tip-tip dan petua turun temurun yang ingin dikongsikan ini dapat memberikan
manfaat kepada anda semua..
TIP-TIP
DAN PETUA BERKAITAN LAUK – PAUK
1. Menyelesaikan masalah lauk terlebih masin – Masukkan 2
atau 3 biji ubi kentang yang dipotong dadu kerana ubi kentang dapat menyerap
rasa masin pada lauk tersebut.
2. Elakkan mata berair kerana bawang – Rendamkan bawang
dalam bekas berisi air, atau teruskan mengupas di dalam air. Cara kedua –
Simpan bawang yang hendak digunakan esok hari di dalam peti sejuk tanpa
mengupas kulitnya. Keesokkan harinya boleh mengupas dan memotong bawang tanpa
mata rasa pedih dan berair.
3. Memasak semula nasi yang mentah – Isikan air dalam
cawan dan letakkan di dalam periuk yang berisi nasi. Tutup periuk dan
perlahankan api hingga nasi masak.
4. Supaya nasi lambat basi – Ketika menanak nasi,
masukkan 2 ke 3 kuntum bunga cengkih berserta secubit garam halus. Basuh beras
hingga beras kelihatan putih. Masukkan air dan barulah ditanak seperti biasa.
5. Tauhu tahan lama – Cuci dengan air bersih dan tuskan
tauhu sehingga kering dan tuangkan air panas. Biarkan sehingga ia sejuk dan
simpan dalam peti ais seperti biasa.
6. Mengelakkan tauhu melekat dikuali – Taburkan garam
halus pada permukaan atas dan bawah tauhu sebelum digoreng. Hasilnya tauhu
tidak melekat lagi.
7. Sayur dicelur tetap segar – Campurkan sedikit minyak
masak ke dalam periuk air rebusan. Toskan air setelah sayur-sayuran dicelur.
Hasilnya sayuran nampak lebih segar dan berkilat.
8. Taugeh tahan lama – Ambil sebiji limau nipis dan
potong supaya menjadi 3 kepingan. Masukkan potongan limau ke dalam taugeh yang
telah direndam dalam air. Hasilnya taugeh akan tetap segar untuk digunakan
selepas itu.
9. Mengatasi rasa pahit buah peria – Hiris buah peria
mengikut keperluan masakan. Gaulkan buah peria yang telah dihiris itu dengan
garam kasar. Biarkan selama 5 minit dan cuci dengan air bersih sebelum dimasak.
Hasilnya peria tidak akan berasa pahit.
10. Menghilangkan gatal sulur keladi – Setelah dibersihkan
celup sulur keladi dengan air asam jawa dan sedikit garam. Kemudian bolehlah
dimasak mengikut citarasa.
11. Ikan garing dan tidak melekat – Masukkan sekeping asam
gelugur ketika menggoreng ikan. Anda akan dapati ikan tersebut tidak melekat
dan cepat garing.
12. Mengelakkan ikan masin hancur ketika digoreng –
Taburkan sedikit tepung gandum pada ikan terlebih dahulu sebelum digoreng.
13. Menghilangkan bau hanyir ikan – Air basuhan beras
jangan dibuang, ia boleh digunakan untuk membasuh ikan. Rendam ikan ke dalam
air beras selama beberapa minit, cuci dan toskan.
14. Rangupkan ayam goreng – Pastikan ayam dicuci bersih
dengan asam jawa kerana segala lendir akan melekat pada asam jawa tersebut.
Setelah dicuci bersih, toskan dan perahkan pula sebiji limau kasturi sebelum
diletakkan kunyit dan garam.
15. Petua elakkan minyak memercik sewaktu menggoreng –
Sebelum menggoreng ikan, daging atau apa-apa saje yang hendak digoreng,
masukkan 2 atau 3 hiris halia terlebih dahulu ke dalam kuali yang mengandungi
minyak. Bila minyak panas ia tidak akan memercik, kalau memercik pun
perlahan-lahan sahaja. Selain daripada itu, bahan masakan yang digoreng akan
berbau lebih wangi.
16. Elakkan bau hamis daging kambing – Masukkan beberapa
sudu tepung ke dalam air dan rendamkan kepingan kambing tersebut antara 15 ke
30 minit. Cucikan kepingan daging dan perahkan jus lemon ke atas kepingan
daging. Biarkan selama 30 minit. Bilas dengan air dan boleh mulakan memasak.
17. Petua masak daging supaya lembut – Masukkan betik muda
yang telah dibuang kulitnya. Hiris dan masukkan sedikit demi sedikit ke dalam
masakan gulai.
18. Petua melembutkan daging – Setelah daging dibersihkan,
masak dengan api yang kecil. Jangan sangka bahawa api kecil daging lambat
empuk. Tidak sama sekali. Setelah air rebusan mendidih barulah besarkan api dan
rebus sehingga daging benar-benar lembut.
19. Terdapat 2 jenis sotong dalam kategori yang keras dan
liat struktur dagingnya iaitu sotong mabang dan sotong katak. Cara melembutkan
sotong katak dan sotong mabang:
-
Ambil lesung dan
ketuk setiap bahagian daging sebelum dimasak.(perlahan jangan sampai hancur)
-
Atau kelar daging
sotong secara halus dan rapat tanpa putus. Contohnya buat bentuk seperti jaring
pagar.
-
Jangan masak
sotong terlalu. Sotong akan jadi liat sepernuhnya.
20. Cara melembutkan sotong kering – Kebiasaannya sotong
direndam di dalam air panas sehingga lembut. Cara kedua – Rendam sotong kering
dalam abu kayu lebih kurang setengah jam sebelum dibersihkan dan dimasak. Cara
ketiga – Rendam sotong kering dalam air kapur semalaman dan esoknya boleh
dibersihkan dan dimasak.
21. Mudah mengopek kerang – Campurkan sesudu minyak masak
ke dalam air rebusan. Kerang akan terbuka sedikit dan memudahkan kita untuk
mengopeknya.
22. Sambal belacan lebih sedap – Cili merah, cili hijau,
cili api dan tomato digoreng terlebih dahulu. Kemudian barulah dikisar atau
ditumbuk bersama belacan yang sudah digoreng. Perahkan asam limau, pasti
rasanya lebih sedap dimakan.
23. Jangan buang lebihan sambal belacan atau sambal tumis.
Simpan di dalam peti sejuk dan boleh digunakan semula dalam tumisan anda dalam
banyak jenis masakan seperti kuew teow goreng, mee goreng, nasi goreng dan
sebagainya.
TIP DAN PETUA BERKAITAN KUIH MUIH DAN DESSERT
1. Tahukah anda bahawa 1 cawan kacang
hijau/merah/dhal/kacang kuda yang kering apabila direbus akan menjadi 2
setengah cawan.
2. Bubur kacang lebih enak – Sebelum merebus kacang,
elokkan digoreng tanpa minyak. Goreng sehingga agak garing sedikit dan berbau
wangi. Matikan api, selepas itu rendam dalam air lebih kurang 2 jam supaya
cepat kembang dan lebih cepat masak nanti. Bubur kacang juga akan lebih enak
kerana bangkit bau wanginya.
3. Bubur kacang lebih lembut dan cepat masak – Elakkan
memasukkan garam atau gula semasa merebus kacang supaya kacang tidak keras dan
cepat masak. Tunggu sehingga kacang menjadi empuk, barulah masukkan garam dan
gula.
4. Santan tahan lama – Caranya perah kelapa parut yang
telah dimesin dengan air masak atau air biasa, jangan terlalu cair. Masukkan ke
dalam periuk dan tambah sedikit garam kasar. Masak atas api sederhana sehingga
agak-agak pecah minyak. Biarkan sejuk dan simpan di tempat yang tidak mudah
terkena air.
5. Tanggalkan kesan getah nangka – Setiap kali terkena
getah nangka, hanya gosokkan hampas kelapa pada tangan atau perkakas yang
terkena getah tadi berulang kali sehingga bersih.
6. Jika terlupa hendak menyapu mentega pada loyang
pembakar kek, jangan risau apabila kek telah masak letakkan loyang di atas kain
basah beberapa minit. InsyaAllah kek yang dibakar lebih mudah dikeluarkan.
7. Gunakan ice cream scoop untuk meletakkan adunan muffin
ke dalam acuan, ini akan memastikan saiz muffin semuanya sama.
8. Petua merangupkan tepung goreng pisang/keledek/keladi
– Biasanya kita akan buat bancuhan tepung gandum dan tepung beras. Tetapi cuba
petua ini, iaitu campuran tepung beras dan tepung pulut ini akan membuatkan
pisang goreng kekal rangup selama beberapa jam walaupun telah sejuk. Campurkan
¾ cawan tepung beras dengan ½ cawan tepung pulut bersama air secukupnya dan
sedia untuk menggoreng.
9. Melembutkan cucur – Jika ingin mendapatkan cucur yang
lembut, bancuhlah dengan air suam. Kemudian goreng seperti biasa, cucur akan
lembut walau pun telah sejuk.
10. Donat gebu dan lembut – Petua bagi donat lembut dan
gebu ialah dengan mencampurkan dua atau tiga biji ubi kentang yang telah
direbus dan kemudian dilenyekkan ke dalam tepung bancuhan donat. Hasilnya donat
akan lembut dan sedap rasanya walaupun telah sejuk.
11. Melembutkan kuih apam – Caranya ialah masukkan sesudu
minyak masak ke dalam adunan kuih apam yang telah siap dibancuh dan gaul hingga
sebati. Kukus seperti biasa, apam akan lebih halus dan tidak melekat pada
acuan.
12. Cucur / cekodok pisang lembut, gebu dan sedap –
Seeloknya pisang dikisar bersama gula sebelum diadun bersama tepung. Selepas
itu diadun bersama dengan tepung dan beberapa cebisan roti keping / gardenia.
Hasilnya cekodok akan lebih lembut dan gebu hasil dari cebisan roti tersebut.
13. Biskut coklat chip lebih enak dari famous amos –
Tukarkan penggunaan serbuk koko kepada serbuk milo dan campurkan kacang pecan
sebagai tambahan bersama-sama coklat chip.
14. Air minuman jus oren lebih sedap – Letakkan sedikit
garam dalam fresh orange tersebut dan rasanya akan menjadi masam, lemak, masin
dan manis serta lebih enak diminum.