RSS

Tuesday, November 11, 2014

TIP-TIP MEMASAK

 
 
 

TIP-TIP DAN PETUA MEMASAK DI DAPUR
     Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera..
 
Semoga tip-tip dan petua turun temurun yang ingin dikongsikan ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua..
 
TIP-TIP DAN PETUA BERKAITAN LAUK – PAUK
 
1.     Menyelesaikan masalah lauk terlebih masin – Masukkan 2 atau 3 biji ubi kentang yang dipotong dadu kerana ubi kentang dapat menyerap rasa masin pada lauk tersebut.
2.     Elakkan mata berair kerana bawang – Rendamkan bawang dalam bekas berisi air, atau teruskan mengupas di dalam air. Cara kedua – Simpan bawang yang hendak digunakan esok hari di dalam peti sejuk tanpa mengupas kulitnya. Keesokkan harinya boleh mengupas dan memotong bawang tanpa mata rasa pedih dan berair.
3.     Memasak semula nasi yang mentah – Isikan air dalam cawan dan letakkan di dalam periuk yang berisi nasi. Tutup periuk dan perlahankan api hingga nasi masak.
4.     Supaya nasi lambat basi – Ketika menanak nasi, masukkan 2 ke 3 kuntum bunga cengkih berserta secubit garam halus. Basuh beras hingga beras kelihatan putih. Masukkan air dan barulah ditanak seperti biasa.
5.     Tauhu tahan lama – Cuci dengan air bersih dan tuskan tauhu sehingga kering dan tuangkan air panas. Biarkan sehingga ia sejuk dan simpan dalam peti ais seperti biasa.
6.     Mengelakkan tauhu melekat dikuali – Taburkan garam halus pada permukaan atas dan bawah tauhu sebelum digoreng. Hasilnya tauhu tidak melekat lagi.
7.     Sayur dicelur tetap segar – Campurkan sedikit minyak masak ke dalam periuk air rebusan. Toskan air setelah sayur-sayuran dicelur. Hasilnya sayuran nampak lebih segar dan berkilat.
8.     Taugeh tahan lama – Ambil sebiji limau nipis dan potong supaya menjadi 3 kepingan. Masukkan potongan limau ke dalam taugeh yang telah direndam dalam air. Hasilnya taugeh akan tetap segar untuk digunakan selepas itu.
9.     Mengatasi rasa pahit buah peria – Hiris buah peria mengikut keperluan masakan. Gaulkan buah peria yang telah dihiris itu dengan garam kasar. Biarkan selama 5 minit dan cuci dengan air bersih sebelum dimasak. Hasilnya peria tidak akan berasa pahit.
10. Menghilangkan gatal sulur keladi – Setelah dibersihkan celup sulur keladi dengan air asam jawa dan sedikit garam. Kemudian bolehlah dimasak mengikut citarasa.
11. Ikan garing dan tidak melekat – Masukkan sekeping asam gelugur ketika menggoreng ikan. Anda akan dapati ikan tersebut tidak melekat dan cepat garing.
12. Mengelakkan ikan masin hancur ketika digoreng – Taburkan sedikit tepung gandum pada ikan terlebih dahulu sebelum digoreng.
13. Menghilangkan bau hanyir ikan – Air basuhan beras jangan dibuang, ia boleh digunakan untuk membasuh ikan. Rendam ikan ke dalam air beras selama beberapa minit, cuci dan toskan.
14. Rangupkan ayam goreng – Pastikan ayam dicuci bersih dengan asam jawa kerana segala lendir akan melekat pada asam jawa tersebut. Setelah dicuci bersih, toskan dan perahkan pula sebiji limau kasturi sebelum diletakkan kunyit dan garam.
15. Petua elakkan minyak memercik sewaktu menggoreng – Sebelum menggoreng ikan, daging atau apa-apa saje yang hendak digoreng, masukkan 2 atau 3 hiris halia terlebih dahulu ke dalam kuali yang mengandungi minyak. Bila minyak panas ia tidak akan memercik, kalau memercik pun perlahan-lahan sahaja. Selain daripada itu, bahan masakan yang digoreng akan berbau lebih wangi.
16. Elakkan bau hamis daging kambing – Masukkan beberapa sudu tepung ke dalam air dan rendamkan kepingan kambing tersebut antara 15 ke 30 minit. Cucikan kepingan daging dan perahkan jus lemon ke atas kepingan daging. Biarkan selama 30 minit. Bilas dengan air dan boleh mulakan memasak.
17. Petua masak daging supaya lembut – Masukkan betik muda yang telah dibuang kulitnya. Hiris dan masukkan sedikit demi sedikit ke dalam masakan gulai.
18. Petua melembutkan daging – Setelah daging dibersihkan, masak dengan api yang kecil. Jangan sangka bahawa api kecil daging lambat empuk. Tidak sama sekali. Setelah air rebusan mendidih barulah besarkan api dan rebus sehingga daging benar-benar lembut.
19. Terdapat 2 jenis sotong dalam kategori yang keras dan liat struktur dagingnya iaitu sotong mabang dan sotong katak. Cara melembutkan sotong katak dan sotong mabang:
-          Ambil lesung dan ketuk setiap bahagian daging sebelum dimasak.(perlahan jangan sampai hancur)
-          Atau kelar daging sotong secara halus dan rapat tanpa putus. Contohnya buat bentuk seperti jaring pagar.
-          Jangan masak sotong terlalu. Sotong akan jadi liat sepernuhnya.
20. Cara melembutkan sotong kering – Kebiasaannya sotong direndam di dalam air panas sehingga lembut. Cara kedua – Rendam sotong kering dalam abu kayu lebih kurang setengah jam sebelum dibersihkan dan dimasak. Cara ketiga – Rendam sotong kering dalam air kapur semalaman dan esoknya boleh dibersihkan dan dimasak.
21. Mudah mengopek kerang – Campurkan sesudu minyak masak ke dalam air rebusan. Kerang akan terbuka sedikit dan memudahkan kita untuk mengopeknya.
22. Sambal belacan lebih sedap – Cili merah, cili hijau, cili api dan tomato digoreng terlebih dahulu. Kemudian barulah dikisar atau ditumbuk bersama belacan yang sudah digoreng. Perahkan asam limau, pasti rasanya lebih sedap dimakan.
23. Jangan buang lebihan sambal belacan atau sambal tumis. Simpan di dalam peti sejuk dan boleh digunakan semula dalam tumisan anda dalam banyak jenis masakan seperti kuew teow goreng, mee goreng, nasi goreng dan sebagainya.
TIP DAN PETUA BERKAITAN KUIH MUIH DAN DESSERT
 
1.     Tahukah anda bahawa 1 cawan kacang hijau/merah/dhal/kacang kuda yang kering apabila direbus akan menjadi 2 setengah cawan.
2.     Bubur kacang lebih enak – Sebelum merebus kacang, elokkan digoreng tanpa minyak. Goreng sehingga agak garing sedikit dan berbau wangi. Matikan api, selepas itu rendam dalam air lebih kurang 2 jam supaya cepat kembang dan lebih cepat masak nanti. Bubur kacang juga akan lebih enak kerana bangkit bau wanginya.
3.     Bubur kacang lebih lembut dan cepat masak – Elakkan memasukkan garam atau gula semasa merebus kacang supaya kacang tidak keras dan cepat masak. Tunggu sehingga kacang menjadi empuk, barulah masukkan garam dan gula.
4.     Santan tahan lama – Caranya perah kelapa parut yang telah dimesin dengan air masak atau air biasa, jangan terlalu cair. Masukkan ke dalam periuk dan tambah sedikit garam kasar. Masak atas api sederhana sehingga agak-agak pecah minyak. Biarkan sejuk dan simpan di tempat yang tidak mudah terkena air.
5.     Tanggalkan kesan getah nangka – Setiap kali terkena getah nangka, hanya gosokkan hampas kelapa pada tangan atau perkakas yang terkena getah tadi berulang kali sehingga bersih.
6.     Jika terlupa hendak menyapu mentega pada loyang pembakar kek, jangan risau apabila kek telah masak letakkan loyang di atas kain basah beberapa minit. InsyaAllah kek yang dibakar lebih mudah dikeluarkan.
7.     Gunakan ice cream scoop untuk meletakkan adunan muffin ke dalam acuan, ini akan memastikan saiz muffin semuanya sama.
8.     Petua merangupkan tepung goreng pisang/keledek/keladi – Biasanya kita akan buat bancuhan tepung gandum dan tepung beras. Tetapi cuba petua ini, iaitu campuran tepung beras dan tepung pulut ini akan membuatkan pisang goreng kekal rangup selama beberapa jam walaupun telah sejuk. Campurkan ¾ cawan tepung beras dengan ½ cawan tepung pulut bersama air secukupnya dan sedia untuk menggoreng.
9.     Melembutkan cucur – Jika ingin mendapatkan cucur yang lembut, bancuhlah dengan air suam. Kemudian goreng seperti biasa, cucur akan lembut walau pun telah sejuk.
10.  Donat gebu dan lembut – Petua bagi donat lembut dan gebu ialah dengan mencampurkan dua atau tiga biji ubi kentang yang telah direbus dan kemudian dilenyekkan ke dalam tepung bancuhan donat. Hasilnya donat akan lembut dan sedap rasanya walaupun telah sejuk.
11. Melembutkan kuih apam – Caranya ialah masukkan sesudu minyak masak ke dalam adunan kuih apam yang telah siap dibancuh dan gaul hingga sebati. Kukus seperti biasa, apam akan lebih halus dan tidak melekat pada acuan.
12. Cucur / cekodok pisang lembut, gebu dan sedap – Seeloknya pisang dikisar bersama gula sebelum diadun bersama tepung. Selepas itu diadun bersama dengan tepung dan beberapa cebisan roti keping / gardenia. Hasilnya cekodok akan lebih lembut dan gebu hasil dari cebisan roti tersebut.
13. Biskut coklat chip lebih enak dari famous amos – Tukarkan penggunaan serbuk koko kepada serbuk milo dan campurkan kacang pecan sebagai tambahan bersama-sama coklat chip.
14. Air minuman jus oren lebih sedap – Letakkan sedikit garam dalam fresh orange tersebut dan rasanya akan menjadi masam, lemak, masin dan manis serta lebih enak diminum.



 


RUMUSAN UNIT 12 – KUIH TEMPATAN


 
 
 
 
1.     Kuih tempatan ialah kuih yang dihasilkan dari sumber tempatan seperti sagu, kelapa, pisang, gula melaka, ubi keledek, ubi kayu, keladi, kacang hijau, tepung beras, beras pulut dan sebagainya.
 
2.     Kuih tempatan boleh dihasilkan melalui pelbagai kaedah memasak sama ada dengan cara mengukus, membakar, menggoreng dan sebagainya.
 
3.      Kuih tempatan terbahagi kepada 2 jenis:
                    i.      Jenis manis – Contohnya kuih seri muka, kuih lapis, kuih bingka, keria, lompang dan tepung pelita
                  ii.      Jenis savouri – Contohnya popia sambal, karipap, cucur badak, pulut panggang, kuih ketayap dan cara berlauk.
 
4.     Kepelbagaian sumber tempatan menjadikan hasil sesuatu kuih tempatan tersebut mempunyai ciri-ciri tersendiri dari segi rasa, warna, tekstur, bau dan rupa bentuk yang berbeza. Contohnya rasa manis  dan savouri, tekstur yang lembut dan garing, kepelbagaian warna dari kuih lapis serta bau yang harum dari daun pandan.
 
5.     Dari segi penyediaan makanan, kuih tempatan dihidangkan mengikut kesesuaian hidangan tersebut sama ada untuk kenduri kahwin atau majlis keraian, kenduri kesyukuran, sarapan atau minum petang dan untuk hari perayaan. Ia juga sesuai dihidangkan sebagai pembuka selera dan pencuci mulut.
 
6.     Berbagai jenis kuih tempatan dihasilkan mengikut kaum dan ianya penting untuk diwarisi agar generasi akan datang dapat merasa dan mewarisi keunikan kuih tradisional turun-temurun ini.



JOM BERPASTA


Jom Berpasta…

Tiba-tiba terasa nak berpasta pulak hari ini. Dah jemu pulak mengadap nasi setiap hari. Teringin nak makan lasagne. Setakat nak makan lasagne di Pizza Hut untuk perut sorang ni ok je.. tapi kalau nak ajak anak-anak and the whole family fikir banyak kali jugak kan.. Nasib dah ku rancang dari semalam sebenarnya. Siap dah beli semua bahan untuk menyediakan lasagne. Kalau nak ikutkan resepi sebenar memang pokaila sikit.. banyak yang dah ku reducekan mengikut bajet yang ada. Maklumlah.. target nak sediakan 2 loyang. Cukup untuk adik beradik sekali sempena family gathering di hujung minggu.
Meh tengok apa bahan-bahannya.
Bawang besar dan bawang putih
 
Kepingan pasta lasagna dan keju mozzarella
 
Bahan asas sos daging – Daging kisar + daging burger, sos sphagetti, cendawan butang, oregano dan lada hitam.

(saya guna sos kimball sebab jauh lebih murah, Cuma 3 ringgit lebih saje, kalau sos prego tu mahal sikit 5 ringgit lebih, rasanya lebih kurang je…)
 
Bahan sos putih – Tepung gandum, mentega/planta, susu, kepingan keju cheddar
 
BAHAN-BAHAN:-
1.      Kepingan lasagna – 1 pek (250gm)
2.      Keju mozarella – 1 pek (200gm)
Bahan-bahan untuk Sos Daging:-
1.      Bawang besar – 1 biji
2.      Bawang putih – 5 ulas
3.      Daging kisar – 1 pek (400gm)
4.      Daging burger – 2 pek
Sebaiknya gunakan 2 pek daging kisar dan 1 pek daging burger (daging kisar dah kehabisan di pasaraya, terpaksalah saya gantikan dengan 2 pek daging burger). Saya gunakan daging burger supaya sos daging lebih enak dan ada kelainan dari segi rasa. Kalau guna daging kisar sahaja, rasanya agak plain sedikit.
5.      Air – 2 cawan
6.      Cendawan butang – 1 tin
7.      Sos pasta/sphagetti – 2 tin
8.      2 sudu besar serbuk lada hitam
9.      1 sudu besar serbuk oregano
10.  Garam secukup rasa.
Bahan-bahan untuk Sos Putih:-
1.      4 sudu besar mentega/planta
2.      4 sudu besar tepung gandum
3.      4 gelas susu / susu cair ( saya larutkan 2 tin susu cair kepada 4 gelas)
4.      1 pek keju cheddar
 
Ok.. dah sediakan bahan. Cuba ikut langkah-langkah di bawah sesedap rasa ye..
 Kita sediakan sos daging dahulu:
Ramaskan daging kisar dan daging burger bersama 2 cawan air.
 
 
Tumiskan bawang besar dan bawang putih dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
 
 
Masukkan daging dan cendawan butang. Kacau sehingga daging berwarna kusam sedikit.
 
Masukkan sos pasta dan kacau rata.
 
Perasakan dengan garam, serbuk lada hitam dan herba oregano.

Taraa…. Sos daging siap.. Nampaknya agak berminyak sedikit sebab terlebih guna daging burger. Lain kali guna 1 pek daging burger je ye….
Kes saya sebab dah kehabisan stok daging kisar di pasaraya.
 
 Ok.. kita sediakan sos putihnya pulak:
 
Cairkan butter dan masukkan tepung gandum. Kacau rata dengan cepat supaya tidak bergentel.
 
 
Masukkan susu cair dan teruskan kacau hingga sebati.
 
 
Masukkan kepingan keju cheddar.
 
 
Kacau perlahan sehingga sos likat sedikit. Siap….
Ok.. Proses seterusnya sediakan sos daging, sos putih, keju mozarella dan kepingan lasagna yang telah direndam. Ops.. lupa pulak nak bagitau macamne cara nak sediakan kepingan lasagna ni. Mula-mula panaskan air mendidih dan campurkan 1 sudu kecil minyak masak dan celurkan kepingan lasagna agak-agak lembut sedikit. Angkat dan rendam ke dalam air sejuk. Fungsi minyak dan air sejuk tersebut akan membuatkan kepingan lasagna tidak melekat semasa proses lapis-melapis.
 
Sediakan bahan untuk proses lapis melapis lasagna.
 
Sediakan loyang dan aturkan kepingan lasagna sehingga menutupi bahagian bawah dulang. (Guntingkan kepingan lasagna jika perlu). Lapiskan pula lapisan kedua dengan sos daging.
 
 
Tuangkan sos putih sebagai lapisan ketiga.
 
Taburkan keju mozarella di atas lapisan sos putih.
 
Teruskan aktiviti melapis sehingga 3 lapisan. Lapisan atas diakhiri dengan kulit lasagna yang dilapisi dengan sos putih dan taburan keju mozarella.
 
 
Fuhh… siap. Dapat 2 adunan loyang. Jimatkan..☺☺
Bakar dalam oven 180ÂșC selama 40 minit atau sehingga masak dan keperang-perangan. Loyang kecil hanya 32 minit sahaja.
 
Nyum nyum.. siap suda..
 
Jumpa lagi di entry yang lain… Selamat Mencuba…